ASSALAMUALAIKUM.

Mutiara Kata

Tuesday, May 5, 2009

Artikel Ilmiah

Soalan Lazim Mengenai Aqiqah

SOALAN

* Aqiqah menurut Islam
* Ketentuan aqiqah untuk anak lelaki dan perempuan
* Had umur anak dan perlaksanaan aqiqah untuk orang lain
* Penggunaan daging dan tulang haiwan aqiqah
* Mewakilkan pihak lain melaksanakan aqiqah
* Pengagihan daging haiwan aqiqah
* Hukum melumurkan darah haiwan aqiqah pada anak atau pintu rumah
* Sunnah lain yang boleh dilakukan pada hari penyembelihan aqiqah

Aqiqah menurut Islam
1: Apakah itu aqiqah?
2: Bagaimanakah sejarah bermulanya ibadah aqiqah?
3: Apakah hukum melaksanakan aqiqah?
4: Apakah hikmah melaksanakan ibadah aqiqah?
5: Siapakah yang dituntut oleh Islam untuk melaksanakan aqiqah?
6: Apakah perbezaan antara aqiqah dan korban?
7: Bilakah waktu paling baik untuk melaksanakan aqiqah?
8: Apakah yang perlu dibaca ketika penyembelihan haiwan aqiqah?

Ketentuan aqiqah untuk anak lelaki dan perempuan
1: Apakah ketentuan aqiqah bagi anak lelaki dan anak perempuan?
2: Apakah haiwan sembelihan yang dibolehkan untuk ibadah aqiqah?
3: Bolehkah seekor kambing dikongsi oleh dua orang anak bagi tujuan aqiqah?
4: Bolehkah mengaqiqahkan anak lelaki dengan seekor kambing sahaja?
5: Bolehkah berkongsi tujuh orang (bahagian) bagi seekor lembu dalam ibadah aqiqah?
6: Adakah wajib menyembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki dalam ibadah aqiqah?

Had umur anak dan perlaksanaan aqiqah untuk orang lain
1: Berapakah had umur untuk seseorang itu melaksanakan tuntutan aqiqah?
2: Saya berumur 30 tahun, saya difahamkan oleh ibu bapa bahawa saya belum diaqiqahkan, bolehkah saya melaksanakan aqiqah untuk diri saya?
3: Anak saya berumur 26 tahun, beliau belum kami aqiqahkan disebabkan masalah kewangan, bolehkah saya melaksanakan aqiqah untuknya sekarang?
4: Bolehkah mengaqiqahkan anak yatim dengan menggunakan hartanya?
5: Bolehkah mengaqiqahkan ibu bapa yang telah meninggal dunia?

Penggunaan daging dan tulang haiwan aqiqah
1: Benarkah daging haiwan aqiqah sunat dimasak manis?
2: Apakah hikmah daging aqiqah sunat dimasak manis?
3: Apakah hikmah tulang haiwan aqiqah tidak boleh dipatah-patahkan?’
4: Bolehkah haiwan sembelihan aqiqah dijadikan hidangan untuk kenduri kahwin?

Mewakilkan pihak lain melaksanakan aqiqah
1: Bolehkah melaksanakan aqiqah anak di tempat lain atau di luar negeri?
2: Bolehkah mewakilkan penyembelihan aqiqah anak kepada pihak tertentu?
3: Bolehkah seseorang itu melaksanakan aqiqah tanpa melihat penyembelihan haiwan aqiqahnya?

Pengagihan daging haiwan aqiqah
1: Siapakah yang layak menerima daging sembelihan aqiqah?
2: Bolehkah mengagihkan daging aqiqah kepada jiran yang bukan Muslim?
3: Bolehkah bersedekah dengan kesemua daging aqiqah?
4: Bolehkah diberikan sebahagian daripada daging aqiqah kepada bidan yang menyambut anak?
5: Apakah sunnah memberikan kaki haiwan aqiqah kepada bidan yang menyambut kelahiran anak?
6: Bolehkah menjual kulit haiwan aqiqah?
7: Bolehkah seseorang menjual sebahagian daripada daging aqiqah anaknya?

Hukum melumurkan darah haiwan aqiqah pada anak atau pintu rumah
1: Apakah hukum melumurkan darah haiwan sembelihan aqiqah ke atas kepala anak yang baru dilahirkan?
2:Apakah hukum bagi orang yang melumuri pintu rumah dengan darah haiwan aqiqah ataupun korban bagi tujuan dijauhkan dari syaitan?

Sunnah lain yang boleh dilakukan pada hari penyembelihan aqiqah
1: Apakah sunnah lain yang boleh dilakukan pada hari penyembelihan aqiqah anak?
2: Adakah sunat mengkhatankan anak pada hari aqiqah?
3: Apakah yang boleh dilakukan jika hari ketujuh anak jatuh pada Hari Raya Korban?



SOALAN & JAWAPAN

Aqiqah menurut Islam

1: Apakah itu aqiqah?
J: Aqiqah menurut bahasa ialah ‘memotong’. Pada asalnya ia merujuk pada rambut yang terdapat pada kepala bayi ketika bayi tersebut keluar dari rahim ibunya, rambut itu dinamakan aqiqah kerana ianya harus dipotong (dicukur).
Menurut istilah pula aqiqah ialah haiwan yang disembelih kerana bayi atau untuk bayi yang dilahirkan. Dinamakan sembelihan itu dengan aqiqah adalah kerana haiwan tersebut disembelih pada hari mencukur rambut kepala bayi itu. Wallahuaklam

Top

2: Bagaimanakah sejarah bermulanya ibadah aqiqah?
J: Diriwayatkan oleh Buraidah bahawa, “Pada zaman Jahiliyyah apabila kami mendapat seorang anak lelaki, maka kami menyembelih seekor kambing, maka kami mencukur kepala bayi tersebut, lalu kepalanya kami sapu dengan darah kambing yang disembelih itu”.

Menurut riwayat Ibnu Sakan pula, “Orang-orang Jahiliyyah meletakkan kapas yang telah dicelup dengan darah aqiqah lalu kapas yang penuh dengan darah tersebut disapu ke ubun-ubun bayi yang baru saja dilahirkan itu. Setelah datangnya Islam, perkara itu tidak dibenarkan oleh Rasullullah S.A.W. Baginda menyuruh menggantikannya dengan meletakkan haruman kasturi pada kepala bayi yang baru dilahirkan itu.

Apabila kita melihat penjelasan tentang sejarah ibadah aqiqah seperti di atas, tradisi aqiqah ini adalah suatu tradisi yang diterima oleh Islam dengan mengadakan pembetulan pada bahagian-bahagian tertentu. Hikmah penyembelihan aqiqah itu diterima oleh Islam kerana aqiqah itu merupakan suatu upacara yang memperlihatkan kegembiraan, mensyukuri nikmat, serta merupakan suatu ibadah sosial. Wallahuaklam

Top

3: Apakah hukum melaksanakan ibadah aqiqah?
J: Hukum melaksanakan aqiqah untuk anak yang baru dilahirkan adalah sunat dan sangat digalakkan di dalam Islam. Pendapat yang sedemikian adalah pendapat jumhur imam-imam dan ahli fiqh. Oleh itu hendaklah ibu bapa melaksanakannya jika ada kemampuan untuk menghidupkan sunnah Rasulullah S.A.W ini. Sehingga ia juga akan menerima keutamaan dan pahala di sisi Allah S.W.T.
Rasulullah bersabda dalam sebuah hadis:
“Sesungguhnya manusia pada hari kiamat nanti akan diminta tanggungjawabnya atas aqiqah, sebagaimana akan diminta tanggungjawabnya atas solat-solat lima waktu.” Wallahuaklam

Top

4: Apakah hikmah melaksanakan ibadah aqiqah?
J: Hikmah di sebalik pelaksanaan ibadah aqiqah itu sangat banyak, hanya Allah yang mengetahuinya, akan tetapi ulama telah menggariskan beberapa hikmah yang dapat difahami, antaranya:
Pertama, aqiqah itu merupakan suatu ibadah yang bertujuan mendekatkan diri anak kepada Allah S.W.T dari peringkat awal lagi.
Kedua,sebagai fidyah (tebusan) untuk menebus diri anak dari segala mara bahaya dan bala bencana, sebagaimana Allah telah menebus Nabi Ismail dengan seekor kibas.
Ketiga, sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran atas kurniaan anak dan nikmat rezeki.
Keempat, mengukuhkan lagi pertalian kekeluargaan dan hidup bermasyarakat melalui jamuan dan agihan lauk daripada daging aqiqah.
Kelima, untuk mendapatkan ganjaran di sisi Allah pada hari kiamat.
Wallahuaklam

Top

5: Siapakah yang dituntut oleh Islam untuk melaksanakan aqiqah?
J: Aqiqah merupakan suatu bentuk ibadah apabila seseorang itu dikurniakan anak oleh Allah S.W.T. Maka ia dituntut ke atas setiap ibu bapa yang dikurniakan anak sebagai tanda kesyukuran kepada Allah S.W.T. Dalam sebuah hadis Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sesungguhnya Rasulullah S.A.W menuntut untuk dinamakan anak (yang baru lahir) pada hari ketujuh, dicukur rambutnya dan diaqiqahkannya.” Hadis Riwayat Tirmidzi. Wallahuaklam

Top

6: Apakah perbezaan antara aqiqah dan korban?
J: Antara perbezaan yang wujud di antara aqiqah dan korban ialah;

1. Aqiqah dituntut perlaksanaannya sekali seumur hidup, manakala ibadah korban disunatkan perlaksanaannya setiap tahun iaitu pada Hari Raya Haji.
2. Daging sembelihan aqiqah sunat diagihkan setelah dimasak, adapun daging sembelihan korban pula sunat diagihkan dalam keadaan mentah.
3. Tidak digalak mematahkan tulang haiwan sembelihan aqiqah, sebaliknya haiwan sembelihan korban tidak dilarang.
4. Sunat menghadiahkan kaki kanan haiwan sembelihan aqiqah kepada bidan yang menyambut kelahiran, berbeza dengan korban tidak disunatkan demikian.

Wallahuaklam

Top

7: Bilakah waktu paling baik untuk melaksanakan aqiqah?
J: Dalam menentukan waktu yang terbaik untuk seseorang itu melaksanakan aqiqah, kita perhatikan pandangan Imam Ahmad ibn Hanbal yang menyatakan bahawa penyembelihan aqiqah dilaksanakan pada hari ketujuh, jika tidak dapat maka pada hari keempat belas, jika tidak dapat juga maka lakukanlah pada hari kedua puluh satu. Adapun jika pada hari-hari tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana tidak berkemampuan, maka penyembelihan boleh dilakukan pada hari-hari lain yang memungkinkannya melaksanakan aqiqah tersebut.
Rasulullah S.A.W bersabda;
“ Seorang anak terikat dengan aqiqahnya yang disembelih pada hari ketujuh, dan dicukur serta diberi nama.” Hadis riwayat Ahmad & Tirmidzi.
Wallahuaklam

Top

8: Apakah yang perlu dibaca ketika penyembelihan haiwan aqiqah?
J: Sudah menjadi intipati amalan dalam Islam bahawa setiap amalan itu perlu didahului dengan doa. Ini bagi menambahkan lagi kesempurnaan sesuatu ibadah itu. Maka dalam konteks penyembelihan haiwan aqiqah, pertama, saudara perlu membaca Bismillahirrahmanirrahim. Kemudian diikuti dengan doa “Oh Tuhan, ini adalah aqiqah si Polan (sebut nama anak), ia merupakan nikmat daripada-Mu, dan kepada-Mu kami kembalikan.” Wallahuaklam

Top

Ketentuan aqiqah untuk anak lelaki dan perempuan

1: Apakah ketentuan aqiqah bagi anak lelaki dan anak perempuan?
J: Perlaksanaan ibadah aqiqah dianjurkan untuk anak lelaki dan juga anak perempuan, sebagaimana hadis Rasulullah S.A.W. yang bermaksud;
“Anak lelaki diaqiqahkan dengan dua ekor kambing dan anak perempuan diaqiqahkan dengan seekor kambing.” Hadis riwayat Ahmad & Tirmidzi.
Dalam sebuah hadis lain Rasulullah bersabda;
“Rasulullah S.A.W telah memerintahkan kepada kami untuk mengaqiqahkan anak lelaki dengan dua ekor kambing dan anak perempuan dengan satu ekor kambing.” Hadis riwayat Ibn Abi Syaiban.
Hadis di atas secara keseluruhannya menunjukkan dua perkara;
Pertama; baik anak lelaki mahupun perempuan, sama-sama disyariatkan supaya dilaksanakan aqiqah.
Kedua; perbezaan bahawa anak lelaki dengan dua ekor kambing sedangkan anak perempuan dengan satu ekor kambing. Wallahuaklam

Top

2: Apakah haiwan sembelihan yang dibolehkan untuk ibadah aqiqah?
J: Menurut jumhur ulama, haiwan yang dibolehkan untuk disembelih bagi ibadah aqiqah ialah unta, lembu, kerbau, kambing, biri-biri dan kibas. Pelaksanaan penyembelihan haiwan tersebut di dalam ibadah aqiqah juga mempunyai syarat-syarat tertentu seperti berikut;

1. Unta berumur 5 tahun dan masuk tahun ke 6.
2. Lembu atau kerbau berumur 2 tahun masuk tahun ke 3.
3. Kambing atau biri-biri berumur 2 tahun atau telah bersalin gigi.
4. Kibas berumur 1 tahun atau telah bersalin gigi.
5. Haiwan tersebut juga disyaratkan tidak cacat.

Wallahuaklam

Top

3: Bolehkah seekor kambing dikongsi oleh dua orang anak bagi tujuan aqiqah?
J: Menurut hadis-hadis yang diriwayatkan berkenaan dengan penentuan jumlah atau bahagian haiwan ternakan yang perlu bagi ibadah aqiqah, kita dituntut melaksanakan aqiqah dengan menyembelih dua ekor kambing untuk anak lelaki dan seekor kambing untuk anak perempuan atau seekor kambing bagi anak lelaki jika kurang berkemampuan. Walau bagaimanapun tidak ada hadis yang menyatakan keharusan berkongsi seekor kambing untuk dua orang anak bagi ibadah aqiqah. Jika seseorang kurang berkemampuan menunaikan tuntutan itu serentak, maka tunaikanlah seorang demi seorang anak dalam perlaksanaan aqiqah mengikut kemampuan. Wallahuaklam

Top

4: Bolehkah mengaqiqahkan anak lelaki dengan seekor kambing sahaja?
J: Anak lelaki sebaik-baiknya diaqiqahkan dengan 2 ekor kambing, akan tetapi seekor kambing sudah memadai bagi tujuan menunaikan tuntutan ibadah aqiqah tersebut. Ini kerana Rasulullah S.A.W. sendiri melaksanakan aqiqah untuk cucu baginda dengan seekor kambing sahaja.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan;
“Bahawa Rasulullah S.A.W telah mengaqiqahkan Hassan dan Hussain dengan satu ekor biri-biri.” Hadis riwayat Abu Daud.
Wallahuaklam

Top

5: Bolehkah berkongsi tujuh orang (bahagian) bagi seekor lembu dalam ibadah aqiqah?
J: Seperti yang kita sama-sama ketahui bahawa bagi anak lelaki sunat diaqiqahkan dengan 2 ekor kambing, dan bagi anak perempuan sunat diaqiqahkan dengan 1 ekor kambing, akan tetapi jika sekiranya seekor lembu atau unta disembelih dengan niat menggantikan tujuh ekor kambing atau 7 bahagian aqiqah, maka ia dibolehkan. Wallahuaklam

Top

6: Adakah wajib menyembelih dua ekor kambing bagi anak lelaki dalam ibadah aqiqah?
J: Aqiqah dua ekor kambing bagi anak lelaki itu bukanlah suatu kemestian, kerana Rasulullah S.A.W sendiri telah melaksanakan aqiqah cucu Baginda, Hassan dan Hussain dengan masing-masing seekor kambing.
Dalam sebuah hadis telah diriwayatkan;
“Bahawa Rasulullah S.A.W telah mengaqiqahkan Hassan dan Hussain dengan satu ekor biri-biri.” Hadis riwayat Abu Daud.
Wallahuaklam

Top

Had umur anak dan perlaksanaan aqiqah untuk orang lain

1: Berapakah had umur untuk seseorang itu melaksanakan tuntutan aqiqah?
J: Berhubung dengan persoalan saudara tentang had umur bagi perlaksanaan aqiqah, sebenarnya ada pendapat yang menyatakan bahawa had umur seseorang bagi melaksanakan aqiqah ialah sehingga anak itu baligh. Walau bagaimanapun, mengikut pandangan Dr. Wahbah Az-Zuhaili di dalam kitabnya Fiqh al-Islami Wa Adilatuhu, bahawa “(Aqiqah) Tidak dikhususkan kepada anak ketika kecil, maka ibu bapa perlu melaksanakan aqiqah anak yang lahir walau selepas ia baligh, kerana tiada tempoh akhir bagi ibadah aqiqah.” Wallahuaklam

Top

2: Saya berumur 30 tahun, saya difahamkan oleh ibu bapa bahawa saya belum diaqiqahkan, bolehkah saya melaksanakan aqiqah untuk diri saya?
J: Saudara, mengikut pendapat Mazhab Imam Hanbali, seseorang itu boleh melaksanakan aqiqah bagi dirinya sendiri sebagai suatu keharusan bukan sebagai suatu tuntutan, ini kerana tuntutan perlaksanaan aqiqah untuk diri saudara adalah di atas tanggungjawab ibu bapa saudara, oleh kerana mereka tidak berkemampuan sehingga saudara dewasa, maka saudara dibolehkan melaksanakannya sendiri berdasarkan pandangan Imam Hanbali tersebut. Wallahuaklam

Top

3: Anak saya berumur 26 tahun, beliau belum kami aqiqahkan disebabkan masalah kewangan, bolehkah saya melaksanakan aqiqah untuknya sekarang?
J: Saudari, perlaksanaan aqiqah sebaik-baiknya dilaksanakan semasa anak berumur 7 hari atau 14 hari atau 21 hari atau sebelum baligh, akan tetapi aqiqah tidak dihadkan kepada anak kecil yang baru lahir sahaja, ianya juga dituntut kepada mereka yang sudah dewasa yang belum dilaksanakan aqiqah atas apa-apa sebab, maka ibu bapa hendaklah mengaqiqahkan anak mereka walaupun selepas mereka baligh kerana tiada had masa bagi tuntutan ibadah aqiqah. Wallahuaklam

Top

4: Bolehkah mengaqiqahkan anak yatim dengan menggunakan hartanya?
J: Aqiqah adalah salah satu bentuk sedekah. Bersedekah dengan harta orang lain tidak dibenarkan di dalam Islam. Sedangkan orang yang menjaga harta anak yatim hanya pemegang amanah sementara waktu sahaja sehingga anak itu baligh. Maka melaksanakan aqiqah bagi pihak anak yatim dengan menggunakan harta anak yatim adalah tidak dibenarkan dalam Islam. Wallahuaklam

Top

5: Bolehkah mengaqiqahkan ibu bapa yang telah meninggal dunia?
J: Aqiqah seperti yang kita ketahui adalah sebahagian daripada konsep bersedekah dalam mencari keredhaan dan mengharapkan pahala daripada Allah S.W.T. Seperti amalan sedekah lainnya yang sunnah dilakukan demi menyampaikan pahala kebajikan amalan tersebut kepada si mati, maka jika sekiranya saudari berniat ingin berbuat demikian dan saudari benar-benar mengetahui bahawa ibu bapa saudari belum diaqiqahkan, maka laksanakan dan berdoa kepada Allah S.W.T supaya menerima amalan yang saudari ingin laksanakan. Akan tetapi sekiranya ibu bapa ada mewasiatkan demikian maka wajib ditunaikan. Wallahuaklam

Top

Penggunaan daging dan tulang haiwan aqiqah

1: Benarkah daging haiwan aqiqah sunat dimasak manis?
J: Memang benar apa yang nyatakan, berbeza dengan korban yang dagingnya sunat diagihkan secara mentah, aqiqah pula sunat dimasak dengan masakan yang manis-manis dan dibuat jamuan atau diagihkan setelah dimasak. Dalam sebuah hadis riwayat Al-Baihaqi dari Aisyah R.A.;
“Menyedekahkan daging aqiqah dalam keadaan sudah dimasak itu adalah sunnah.” Wallahuaklam

Top

2: Apakah hikmah daging aqiqah sunat dimasak manis?
J: Inilah antara perbezaan yang ada di antara korban dan aqiqah, daging korban sunat diagihkan dalam keadaan mentah, manakala daging aqiqah pula sunat diagihkan setelah dimasak dengan masakan yang manis. Adapun hikmah kenapa kita disarankan memasak daging aqiqah dengan masakan yang manis-manis ialah kerana ia sebagai doa harapan baik (tafa-ul), mudah-mudahan akhlak dan kelakuan anak tersebut akan menjadi baik dan manis dipandang. Wallahuaklam

Top

3: Apakah hikmah tulang haiwan aqiqah tidak boleh dipatah-patahkan?
J: Kita dituntut supaya tidak mematahkan tulang-tulang haiwan sembelihan aqiqah, akan tetapi sunnah dipotong mengikut sendi-sendi haiwan tersebut. Ini sesuai dengan hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud, iaitu ketika Fatimah binti Muhammad S.A.W. mengadakan aqiqah anaknya, maka Rasulullah S.A.W. bersabda; “Makan dan jamulah seleramu tetapi janganlah kamu memecahkan tulangnya”.
Antara hikmah di sebaliknya tuntutan tersebut ialah supaya anak-anak tersebut akan membesar dengan sempurna dan tidak ditimpa perkara yang boleh mencacatkannya sehingga patah dan lain-lain. Wallahuaklam

Top

4: Bolehkah haiwan sembelihan aqiqah dijadikan hidangan untuk kenduri kahwin?
J: Di samping menunjukkan kesyukuran kepada Allah S.W.T terhadap kurniaan anak, antara tujuan utama dianjurkan ibadah aqiqah di dalam Islam ialah untuk mengeratkan tali persaudaraan sesama keluarga, jiran, rakan taulan, dan orang Islam yang miskin dengan mengadakan kenduri dan jamuan, maka mengikut pendapat Imam Syafie menyembelih haiwan aqiqah dan membuat kenduri kahwin pada masa yang sama adalah dibolehkan. Wallahuaklam

Top

Mewakilkan pihak lain melaksanakan aqiqah

1: Bolehkah melaksanakan aqiqah anak di tempat lain atau di luar negeri?
J: Bagi menjawab pertanyaan tersebut, maka di sini kita kemukakan pandangan Sayid Al-Bakri dalam kitabnya I’anatut Tolibin, beliau menyatakan bahawa sah dan boleh berwakil pada pembelian korban dan aqiqah, dan boleh pula berwakil untuk menyembelihnya walaupun orang yang empunya diri berada di luar negeri. Wallahuaklam

Top

2: Bolehkah mewakilkan penyembelihan aqiqah anak kepada pihak tertentu?
J: Telah menjadi suatu amalan umat Islam di mana-mana bahawa mereka mewakilkan penyembelihan aqiqah kepada pihak tertentu, sama ada imam masjid, tukang sembelih atau syarikat tertentu seperti yang berlaku di Makkah sama ada pada musim Haji mahupun di luar musim Haji. Maka mewakilkan penyembelihan aqiqah kepada pihak lain yang dipercayai dan amanah adalah suatu yang dibenarkan oleh agama bagi memudahkan umat Islam melaksanakannya. Ini bertepatan dengan pendapat Sayid Al-Bakri di dalam kitabnya I’anatut Tolibin. Wallahuaklam

Top

3: Bolehkah seseorang itu melaksanakan aqiqah tanpa melihat penyembelihan haiwan aqiqahnya?
J: Sayid Al-Bakri dalam kitabnya I’anatut Tolibin menyatakan bahawa adalah sah dan boleh berwakil pada pembelian korban dan aqiqah dan boleh pula berwakil untuk menyembelihnya walaupun orang yang empunya diri berada di luar negeri. Ini bermakna orang yang dimaksudkan oleh Sayid Al-Bakri itu sudah tentu tidak dapat melihat sendiri aqiqah yang dilaksanakan bagi pihaknya oleh pihak tertentu. Maka hukumnya adalah dibolehkan. Wallahuaklam

Top

Pengagihan daging haiwan aqiqah

1: Siapakah yang layak menerima daging sembelihan aqiqah?
J: Mereka yang paling layak menerima sedekah adalah orang fakir dan miskin dari kalangan umat Islam, begitu juga dengan aqiqah, mereka yang paling layak menerima adalah orang miskin di kalangan umat Islam. Walau bagaimanapun berdasarkan beberapa buah hadis dan amalan Rasulullah dan para sahabat, kita disunatkan juga memakan sebahagian daripada daging tersebut, bersedekah sebahagian dan menghadiahkan sebahagian lagi. Apa yang membezakan aqiqah dan korban ialah kita disunatkan memberikan sebahagian kaki kambing aqiqah tersebut kepada bidan yang menyambut kelahiran tersebut. Wallahuaklam

Top

2: Bolehkah mengagihkan daging aqiqah kepada jiran yang bukan Muslim?
J: Kegembiraan serta kesyukuran kita menyambut kelahiran tidak akan meriah atau begitu dirasakan jika tidak diraikan bersama saudara mara terdekat dan jiran tetangga. Maka semua mereka yang disebut tadi perlu merasakan sesuatu bagi sama-sama meraikan kegembiraan kita, bahagian yang diagihkan kepada orang Islam dipanggil sedekah, adapun yang diberikan kepada orang bukan Islam dipanggil hadiah. Dan memangpun menjadi hak jiran itu sama ada Muslim atau sebaliknya merasa gembira dengan kegembiraan kita dan bersedih dengan kesedihan kita, maka kita berpendapat bahawa menghadiahkan sedikit masakan jamuan aqiqah kepada jiran yang bukan Muslim tidak bertentangan dengan tujuan asal sambutan aqiqah itu dianjurkan. Bahkan jika kita tidak menghadiahkan sedikit makanan kepada jiran tersebut ianya akan membawa kesan yang kurang baik seperti perasaan kecil hati, tekanan perasaan anak-anak jiran yang terbau masakan jamuan tersebut dan lain-lain. Wallahuaklam

Top

3: Bolehkah bersedekah dengan kesemua daging aqiqah?
J: Memang tujuan sebenar tuntutan aqiqah ialah bersedekah bagi melahirkan kesyukuran atas kurniaan anak yang baru dilahirkan, akan tetapi jika sekiranya seseorang ingin mengambil keberkatan ibadah tersebut dengan memakan sedikit daripadanya adalah dibolehkan. Walau bagaimanapun bersedekah dengan semua daging aqiqah tersebut kepada yang memerlukan amatlah baik. Wallahuaklam

Top

4: Bolehkah diberikan sebahagian daripada daging aqiqah kepada bidan yang menyambut anak?
J: Memang kita dituntut memberikan sebahagian daging aqiqah kepada bidan yang menyambut dan merawat anak yang baru dilahirkan itu, bahkan kita disarankan memberikan kaki belakang sebelah kanan haiwan yang disembelih tersebut kepada bidan berkenaan. Hal ini berdasarkan kepada sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakim yang disahihkannya, bahawa “Fatimah telah melakukan hal sedemikian itu atas perintah Rasulullah S.A.W.” Wallahuaklam

Top

5: Adakah sunnah memberikan kaki haiwan aqiqah kepada bidan yang menyambut kelahiran anak?
J: Memang benar apa yang dinyatakan. Adalah disunatkan memberi kaki kanan belakang haiwan sembelihan aqiqah anak kita kepada bidan yang menyambut dan merawat anak tersebut. Ini bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh Rasulullah S.A.W seperti dalam sebuah hadis riwayat Al-Hakim yang disahihkannya, bahawa “Fatimah telah melakukan hal sedemikian itu atas perintah Rasulullah S.A.W.” Wallahuaklam

Top

6: Bolehkah menjual kulit haiwan aqiqah?
J: Hakikat aqiqah sebenarnya adalah suatu bentuk sedekah, maka apa yang terbaik bagi sesuatu sedekah itu benar-benar dapat dimanfaatkan oleh pihak ketiga iaitu saudara mara, jiran tetangga dan orang miskin di kalangan umat Islam, maka menjual sesuatu daripada haiwan aqiqah itu mengurangkan nilai sedekah yang ingin dicapai dalam ibadah aqiqah tersebut. Maka jumhur ulama mengatakan bahawa tidak boleh dijual apa-apa bahagian daripada haiwan sembelihan aqiqah tersebut. Tetapi ada pendapat dalam mazhab Hanbali mengatakan ia boleh dijual asalkan nilai tersebut dimanfaatkan oleh masyarakat awam. Wallahuaklam

Top

7: Bolehkah seseorang menjual sebahagian daripada daging aqiqah anaknya?
J: Hikmah agama Islam menggalakkan kita melaksanakan ibadah aqiqah ialah untuk menunjukkan rasa syukur dengan berkongsi nikmat Allah S.W.T. dengan umat Islam yang lain terutama saudara mara yang terdekat dan saudara seagama yang kurang bernasib baik Adapun menjual daging tersebut tidak dapat mencapai matlamat tersebut, maka menjual daging aqiqah adalah tidak dibolehkan. Wallahuaklam

Top

Hukum melumurkan darah haiwan aqiqah pada anak atau pintu rumah

1: Apakah hukum melumurkan darah haiwan sembelihan aqiqah ke atas kepala anak yang baru dilahirkan?
J: Adalah makruh melumurkan darah haiwan sembelihan aqiqah di kepala anak yang diaqiqahkan. Ini kerana Rasulullah melarang daripada perbuatan yang sedemikian. Dalam sebuah hadis daripada Aisyah R.A.;
“Mereka di zaman jahiliyyah menyapu darah haiwan aqiqah dengan kain lalu dilumur ke atas kepala anak yang baru dilahirkan itu, maka Nabi S.A.W memerintahkan mereka menukarkan darah tersebut dengan wangian.” Wallahuaklam

Top

2: Apakah hukum bagi orang yang melumuri pintu rumah dengan darah haiwan aqiqah ataupun korban bagi tujuan dijauhkan dari syaitan?
J: Adapun orang yang melumuri pintu rumah mereka dengan darah aqiqah atau korban adalah salah dan haram dari hukum agama. Ini kerana ia termasuk perkara yang tidak dilakukan oleh Rasulullah S.A.W, dan kepercayaan yang mengatakan akan dijauhi syaitan apabila menyapu darah korban ataupun aqiqah pada pintu rumah adalah bertentangan dengan pegangan akidah umat Islam. Wallahuaklam

Top

Sunnah lain yang boleh dilakukan pada hari penyembelihan aqiqah

1: Apakah sunnah lain yang boleh dilakukan pada hari penyembelihan aqiqah anak?
J: Berdasarkan kepada amalan yang dilakukan oleh Rasulullah S.A.W dan para sahabat, maka beberapa sunnah boleh dilakukan pada hari penyembelihan aqiqah tersebut, antaranya;

1. Mencukur rambut bayi tersebut pada hari ketujuh kelahirannya.
2. Memberikan nama pada bayi tersebut.
3. Bersedekah dengan emas atau perak seberat rambutnya yang telah dicukur.
4. Mengkhatan bayi tersebut.

Wallahuaklam

Top

2: Adakah sunat mengkhatankan anak pada hari aqiqah?
J: Memang benar, mengkhatankan anak pada hari ketujuh dan hari penyembelihan aqiqahnya adalah sunat. Dalam sebuah hadis riwayat Imam Al-Baihaqi daripada Aisyah R.A. “Bahawasanya Nabi S.A.W mengkhatankan Hassan dan Hussain pada hari ketujuh dari hari kelahiran mereka.” Wallahuaklam

Top

3: Apakah yang boleh dilakukan jika hari ketujuh anak jatuh pada Hari Raya Korban?
J: Pada Hari Raya Korban kita disunatkan menyembelih haiwan korban, begitu juga pada hari ketujuh kelahiran seorang anak, kita dituntut melaksanakan aqiqah untuk anak tersebut, jadi apabila bertemu Hari Raya Korban bertepatan dengan hari ketujuh kelahiran anak, maka mengikut pandangan ulama mazhab Imam Ahmad ibn Hanbal, saudara boleh menggabungkan niat perlaksanaan aqiqah anak dengan niat korban, seperti mana jika bertemu hari Jumaat dengan hari raya maka saudara boleh niatkan mandi sunat keduanya dengan sekali mandi sahaja. Wallahuaklam

Top



Rujukan:

1. Al-Iqna’ Fi Halli Alfaz Abi Syuja’ – Khotib Syarbini
2. Fiqh Islami – Wahbah Az-Zuhaili
3. Fiqh As-Sunnah – Sayyid Sabiq
4. Sirajul Wahhaj ‘Ala Matnil Minhaj Lil Imam Nawawi.
5. Korban & Aqiqah – Haji Ahmad Fuad Said
6. Panduan Aqiqah Khatan & Korban – Muhammad Isa Selamat
7. Ibadat Korban, Hukum & Cara Pengendaliannya - Jabatan Mufti Kerajaan, Negara Brunei Darussalam.

No comments: